Print

Bernama 26 Julai - Alumni UniSZA Adakan Wacana Mengenai Wakaf Korporat Sabtu Ini

Written by Super User on .

bernama malay

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) --  Melihat pentingnya peranan wakaf korporat kepada pembangunan ekonomi negara, Alumni Universiti Zainal Abidin (UniSZA) bakal mengadakan wacana mengenai wakaf korporat bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap peranannya kepada negara.

Bertempat di Kelab Tasik Putrajaya, persatuan alumni itu akan mengadakan Siri Wacana Alumni UniSZA Sabtu ini (27 Julai) bertajuk "Transformasi Wakaf Membela Generasi Masa Depan" yang akan disampaikan oleh Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia Tan Sri Muhammad Ali Hashim.

Dalam satu kenyataan Alumni UniSZA di sini, Presidennya Mohammad Sahar Mat Din berkata masyarakat Malaysia hari ini semakin memahami dan mengiktiraf peranan institusi wakaf dalam pembangunan ekonomi negara.

Ini ditambah dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada perentangan ucapan Bajet 2013 yang mencadangkan Pelan Induk Wakaf Korporat dirangka.

"Wakaf korporat berpotensi melonjakkan transformasi ekonomi negara dengan memperkenal satu dimensi penting, iaitu menginstitusikan wakaf, sekali gus menyuntik roh Islam ke dalam proses pembangunan tanpa menghalang kepesatan pertumbuhan," kata Mohammad Sahar.

Katanya wakaf korporat merupakan institusi ekonomi penjana harta kekayaan, justeru bukan untuk tujuan kebajikan semata-mata.

"Tidak namanya korporat jika institusi ini tidak berpanjangan menjana peluang ekonomi serta peluang kerja baharu, dan tidak dapat menyumbang kepada pertambahan pendapatan dan kualiti hidup," katanya.

Melalui seminar ini, Mohammad Sahar berkata Alumni UniSZA bakal merealisasikan kaedah wakaf korporat dalam agenda ekonomi alumni itu yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan pendidikan UniSZA.

Kepada alumni UniSZA yang berminat, pendaftaran masih dibuka dan maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi talian 013-618 6474 (Zaid) atau e-mel ke This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it..

-- BERNAMA