Print

Membuka luas pintu wakaf

Written by Super User on .

MUHAMMAD ALI HASHIM
23 Julai 2012

Dalam beberapa artikel sebelum ini Kolum Khalifah Bisnes membawa perhatian pembaca kepada isu Waqaf Korporat dan Jihad Bisnes. Tujuannya menjayakan sepenuhnya aspirasi Islam supaya bangsa Melayu dan umat Islam menjadi bangsa dan umat “al yadul uliya” yang “tangannya di atas”, iaitu berdikari sepenuhnya.

Islam tegas anjurkan umatnya memiliki “tangan di atas” (the upper hand) - yang lebih mulia kedudukannya berbanding golongan “tangan di bawah” yang bergantung hidup kepada orang lain dan sentiasa meminta-minta. Kerana mustahil umat Islam bangkit semula sebagai Khalifah di muka bumi selagi kedudukan ekonomi dan sosial mereka lemah, berpanjangan meminta-minta dan mengharapkan ihsan dan bantuan orang lain, sekali pun daripada kerajaan.

Syukur alhamdulillah, kedua-dua konsep itu semakin mendapat keyakinan dan diterima baik masyarakat. Khasnya penerimaan Waqaf Korporat oleh institusi pengajian tinggi dan badan penguasa agama setelah terdapat kefahaman mendalam hasil diskusi dan perbincangan dalam beberapa forum, seminar dan kongres, termasuk Kongres Ekonomi Islam ke 3 pada 2009 dan Kongres Majlis Agama Islam pada 2011.
Minggu lalu saya menerima undangan Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor, Presiden, Majlis Universiti Islam Malaysia (UIM), untuk bersama menjayakan seminar bertemakan “Waqaf Penjana Ekonomi” yang diadakan di Putrajaya. Kertas utama yang menjadi tumpuan seminar ialah kertas Prof Dr Ali Gom’ah, Mufti Mesir.

Antara kandungan kertas utama termasuk saranan Mufti Mesir supaya umat Islam “beramal dengan ibadat wakaf agar tercapai maksud Maqasid Syari’ah.”  Wakaf berperanan sangat hebat dalam memperkasa umat dari sejak zaman Rasulullah SAW lagi, khasnya setelah Baginda berhijrah ke Madinah. Wakaf pertama dalam Islam ialah wakaf Masjid Quba yang diasaskan Rasulullah SAW.

Institusi wakaf tidak terikat hanya dengan masjid. Malah kertas Mufti Mesir tegas menyatakan “kegiatan ekonomi (wakaf) merentasi sempadan”.

Institusi wakaf begitu hebat dengan manfaatnya nyata berkesan sehingga ia diciplak Barat. Di Barat, institusi ini dijenamakan semula dalam bentuk yayasan, Trust atau endowment. Justeru, banyak universiti di Barat, termasuk Oxford dan Cambridge di Britain serta Harvard dan Stanford di Amerika Syarikat berjaya berdikari. Dilaporkan hari ini Universiti Harvard terkaya dengan memiliki aset endowment bernilai melebihi US$30 bilion.

Malangnya institusi wakaf di dunia Islam telah merosot kedudukannya, terutama kerana kelemahan pengurusan. Kertas Mufti Mesir menyatakan: “Hal ehwal wakaf di Mesir akhir kurun ke 19 hingga awal kurun ke 20, telah diabaikan hingga kedudukan wakaf itu lemah, malah menjadi beban kepada Azhar.”

Satu kajian Universiti Oxford pada akhir Disember, 2010, mendapati kelemahan pengurusan wakaf di bawah penguasa agama adalah punca utama kemerosotan institusi wakaf dalam dunia Islam. Apabila pengurusannya lemah, minat berwakaf di kalangan masyarakat juga terjejas dan merosot.

Sesi tengah hari seminar dipenuhi pembahasan kertas Mufti Mesir. Dalam pembentangan selaku salah seorang ahli panel, saya tegaskan pentingnya diperkasakan institusi Waqaf di Malaysia, terutama mengatasi kelemahan pengurusan wakaf menerusi kaedah Waqaf Korporat. Kelebihan Waqaf Korporat terletak pada keupayaannya berpanjangan menjana ekonomi umat di samping membasmi kebocoran hak milik ekonomi Melayu yang banyak berlaku atas sebab penswastaan, juga oleh ketirisan berpunca daripada kelemahan daya tahan.

Saya telah menarik perhatian seminar kepada kertas Mufti Mesir yang turut menegaskan bagaimana wakaf dapat “menyelamatkan rakyat Palestin daripada bencana lebih besar”. Tanpa wakaf, masyarakat Palestin yang lemah politik dan ekonomi mudah dizalimi dan harta mereka dibeli oleh Yahudi Israel yang kukuh ekonomi dan kaya.

Tanpa wakaf keupayaan rakyat Palestin menjana ekonomi, misalnya membiayai keperluan pendidikan anak-anak pasti terbatas, dan semudah itu juga masa depan generasi baru Palestin digugat.

Cabaran sama juga dihadapi bangsa Melayu dan umat Islam di Malaysia. Kelemahan ekonomi menyaksikan kita mudah diketepikan; tanah, harta dan kuasa politik mudah dibeli orang lain yang lebih kukuh kuasa ekonomi. Sistem ekonomi kapitalis yang diterima pakai turut  memudahkan pemindahan harta kekayaan daripada golongan lemah ekonomi kepada yang kuat ekonomi.

Situasi ini tidak disenangi Islam yang menuntut umatnya tidak cuma membiarkan harta kekayaan berputar kalangan orang kaya dalam masyarakat. Institusi wakaf, terutama Waqaf Korporat, berupaya menyelamat dan kekalkan hak milik harta Melayu dan umat Islam, elakkannya daripada dicerobohi.

Justeru, institusi wakaf perlu diberi keutamaan oleh masyarakat dan Waqaf Korporat diterima sebagai kaedah strategik atasi kelemahan pengurusannya. Bagi jayakan semua ini memerlukan pihak berkuasa agama di Malaysia membuka luas pintu wakaf supaya dapat dipermudah dan digalakkan penubuhan wakaf untuk kepentingan bangsa dan umat.

Model kerjasama antara penguasa wakaf dengan badan korporat GLC terdapat pada Waqaf An Nur Corporation Bhd (WANCorp) yang ditubuhkan oleh Johor Corporation (JCorp). Akhir 2011 WANCorp miliki aset wakaf  bernilai lebih RM538 juta, iaitu satu bukti  kejayaannya.
Kesimpulannya, dalam pembentangan saya telah memperakukan supaya pihak berkuasa wakaf memudahkan pemanjangan status wakaf, khasnya dengan mengiktiraf institusi tertentu (bukan individu atau keluarga) serta memberi mereka status mutawalli atau nazir khas wakaf.  Antara institusi yang difikirkan wajar diiktiraf termasuk seperti berikut:-

1.    GLC Wakaf (seperti JCorp) dan syarikat PLC milik GLC seperti Felda Global dan KFC. (Bayangkan jika JCorp diwakafkan untuk menjamin aset dan bisnes miliknya bernilai lebih RM21 bilion pada harga pasaran, akhir Jun 2012 terselamat daripada diswastakan dan kekal dimiliki umat Islam selama-lamanya);

2.    Universiti Wakaf, bermula dengan UIM. Secara kebetulan UIM yang asalnya Kolej Islam Malaya ditubuhkan pada 1955 atas dasar wakaf, menjadikannya IPTA wakaf pertama di Malaysia.

3.    Yayasan Wakaf yang dibina untuk kepentingan am masyarakat. Antara Yayasan yang paling ke depan dalam memperjuangkan Waqaf Korporat ialah Yayasan Iqra’;

4.    Wakaf Dewan Perdagangan (Khasnya DPIM yang telah mendaftar syarikat Waqaf Korporat dengan nama Awqaf Holdings Bhd);

5.    Koperasi Wakaf (seperti Angkasa  juga telah tubuhkan badan Infaq-lil-Waqaf; dan

6.    Bank Wakaf. Bank Muamalat telah memulakan inisiatif memberi peluang berwakaf kepada pemegang akaun, selain menawarkan produk wakaf untuk awam.

Sesungguhnya bangsa Melayu perlu segera manfaatkan perlindungan dan pembelaan institusi wakaf kurniaan Islam, khasnya Waqaf Korporat dengan kaedah pengurusan profesional, telus dan terbuka. Institusi wakaf wajar dijadikan penggerak dan penjana ekonomi dan untuk itu penguasa wakaf perlu membuka luas pintu wakaf, memangkinkan penubuhan segera beberapa badan Waqaf Korporat. Cara ini kita dapat jaga maslahat jangka panjang bangsa dan umat selain perkasa dan menjana ekonomi untuk manfaat semua.