Print

Wakaf bukan amalan untuk mati sahaja

Written by Super User on .

MUHAMMAD ALI HASHIM
9 Julai 2012

Pada 4 Julai lalu, saya menyampaikan ceramah dalam Seminar Serantau Indonesia-Malaysia bertemakan ekonomi Islam atas undangan Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia dengan tajuk: “Transformasi Pengurusan Wakaf di Malaysia.” Fokus ceramah adalah mengenai relevannya wakaf dalam kehidupan masyarakat Islam kontemporari, iaitu wakaf sebagai institusi memperkasa ekonomi umat.

Saya telah menekankan perlunya ditransformasikan institusi wakaf supaya sesuai dan relevan untuk masyarakat Islam pada zaman ini kerana pada kaca mata ramai wakaf seolah-olah tidak lagi relevan. Terlalu ramai anggota masyarakat tidak mengenali wakaf, justeru tidak berminat untuk berwakaf, lebih-lebih lagi apabila terdapat kelemahan dan ketidaktelusan dalam pengurusan wakaf. Jika ada pun yang sedar, ramai yang melihat wakaf cuma sebagai suatu amalan 'untuk mati' dan tidak melihat wakaf sebagai relevan atau mempunyai kaitan dengan keperluan hidup di zaman ini.

Kenapa wakaf rata-rata dilihat sebagai bertujuan untuk mati? Kerana amalan tradisional wakaf dalam masyarakat Malaysia lebih banyak dikaitkan dengan wakaf harta, khasnya tanah, untuk perkuburan umat Islam. Selain itu, wakaf tanah untuk masjid, surau, madrasah, rumah anak yatim dan seumpamanya yang dilihat sebagai amal ibadah untuk bekalan di akhirat nanti.

Justeru, ramai yang melihat wakaf daripada perspektif mati, terlepas pandang terhadap potensi wakaf sebagai amalan baik yang juga besar manfaatnya untuk memenuhi keperluan dan maslahat hidup di dunia. Masih ramai tidak sedar peranan besar wakaf untuk memenuhi tuntutan kemajuan dan kejayaan umat Islam khasnya dalam menghadapi cabaran alaf baharu!

Ramai juga yang lupakan peranan hebat wakaf dalam sejarah pembentukan dan pembangunan ummah. Bermula sebagai satu umat yang kecil jumlahnya, miskin dan lemah, lalu bangkit dalam jangka masa yang singkat menjadi antara umat terbaik, paling dinamis dan bertenaga luar biasa pernah dilihat dalam sejarah pembangunan manusia. Selama lebih seribu tahun umat Islam adalah umat paling berjaya hingga mencapai taraf khalifah di muka bumi, khasnya dalam abad-abad awal Islam sewaktu Barat masih dalam kegelapan dan kejumudan.

Pencapaian hebat ini berlaku berasaskan kebijaksanaan kerajaan Islam mengguna institusi kurniaan ALLAH SWT, termasuk masjid, jihad, dakwah, zakat dan wakaf. Sejarah membuktikan kehebatan dan kecemerlangan umat Islam dibina atas transformasi total yang dibawa Islam yang secara langsung memakmurkan kehidupan setelah berjaya memanfaatkan ilmu dan membina ekonomi berteraskan perdagangan dan perniagaan. Di mana-mana Islam menguasai negeri di situ kemakmuran menjelma.

Antara institusi pertama dibina kerajaan Islam adalah masjid yang turut dijadikan pusat pemerintahan dan pentadbiran, pusat dakwah dan ilmu serta pusat sumber ketamadunan. Seterusnya, dibina pusat perdagangan yang pada satu ketika dipanggil “caravanserai”.

Terutama setelah Islam berkembang di Eropah, pusat dagangan yang melindungi pedagang yang datang membawa dagangan dari seluruh dunia adalah antara nadi dagangan dunia yang menghubungi Eropah dengan timur Asia. Kejayaan ini memangkinkan umat Islam menerajui dan menguasai ekonomi dunia ketika itu.

Umumnya tanah dan bangunan masjid serta caravanserai ini adalah diwakafkan. Pengurusannya dikendalikan pemerintah setempat, dengan hasil pendapatan digunakan untuk membiayai keperluan masjid dan untuk manfaat penduduk setempat. Caravanserai ini turut dilengkapi jaminan keselamatan, langsung menggalakkan pengembangan perdagangan dan bisnes yang menambah pesat pembangunan ekonomi dan kemakmuran hidup semua terbabit, termasuk warga bukan Islam. Selama lebih satu alaf sebelum Barat bangkit sebagai kuasa dunia, umat Islam berjaya menjadi antara umat terkaya, bertamadun paling tinggi, disegani dan dihormati di seluruh dunia.

Begitulah hebatnya peranan institusi Islam, termasuk wakaf, di zaman kegemilangan Islam. Potensi membina semula kehebatan silam seperti ini sentiasa terdapat pada umat Islam selagi mereka berpegang teguh kepada ajaran agama yang suci lagi mulia ini. Namun ia memerlukan pembaharuan kesedaran tentang peranan strategik wakaf dikuti usaha transformasi dan mengadaptasikannya supaya sesuai untuk umat Islam mengatasi cabaran hidup di abad ke 21.

Pada pandangan saya, usaha transformasi institusi wakaf sebenarnya mudah kerana peranan tradisional wakaf dalam sejarah Islam membuktikan bahawa banyak digunakan untuk memenuhi keperluan hidup masyarakat Islam, dan bukan sahaja untuk mati.  Dana wakaf pernah digunakan untuk membina infrastruktur besar awam seperti jalan raya, jambatan, hospital dan bekalan air, sama ada untuk minuman atau untuk saliran irigasi pertanian. Wakaf juga pernah digunakan untuk mendanai kemudahan perkapalan, perbekalan dan pengangkutan jemaah haji dan umrah, selain sebagai dana untuk membantu kebajikan golongan miskin dan yang memerlukan bantuan. Malah lebih dari itu, pernah tercatat dana wakaf turut digunakan untuk memberi makan serigala dan binatang liar di hutan, supaya mereka tidak menyerang manusia dan dengan demikian kehidupan mereka terlindung dari diancam oleh manusia.

Seminar kemudiannya didedahkan kepada contoh sebenar pembaharuan wakaf yang jelas berkesan memperkukuh ekonomi bangsa Melayu dan umat Islam di Malaysia. Saya telah berkongsi pengalaman aplikasi wakaf dalam konteks bisnes dan aktiviti korporat moden yang dipanggil Wakaf Korporat. Mesej utama yang disampaikan ialah potensi wakaf digunakan sebagai instrumen memperkasa ekonomi umat Islam menerusi kaedah bisnes dan korporat, sekali gus mentransformasi bisnes dan aktiviti korporat supaya dikendalikan dengan kaedah yang lebih Islamik berbanding dengan amalan sedia ada. Kerana bisnes mengikut model Barat yang diciplak umat Islam di zaman ini menyebabkan ramai dalam kalangan mereka dijangkiti penyakit rakus, duniawi, materialistik, individualistik dan nafsu-nafsi.

Saya telah menonjolkan contoh kejayaan Waqaf An Nur Corporation Bhd (WANCorp) yang ditubuhkan Johor Corporation (JCorp), bermula dengan pewakafan saham tersenarai (PLC) milik JCorp bernilai RM200 juta pada 3 Ogos, 2006. Pada akhir 2011 nilai saham wakaf milik WANCorp meningkat kepada RM538.5 juta selaras dengan peningkatan harga saham di pasaran saham. WANCorp juga membawa impak besar terhadap kesejahteraan dan kebajikan masyarakat menerusi program fisabilillah yang menyeluruh.

Bayangkan jika JCorp, dengan aset bernilai melebihi RM14 bilion hari ini, dan nilai modal pasaran saham melebihi RM21 bilion, dijadikan organisasi Waqaf Korporat sepenuhnya. Bayangkan juga jika terdapat 10 buah badan Waqaf Korporat seperti JCorp di seluruh negara (termasuk, misalnya Felda, Tabung Haji dan lain-lain GLC) - pasti masalah kelemahan ekonomi Melayu dan umat Islam di Malaysia dapat diatasi dan sistem kapitalis di Malaysia direformasi.

Saya juga menarik perhatian peserta seminar kepada hakikat bagaimana kehadiran Waqaf Korporat seperti WANCorp dapat merapatkan jurang kaya miskin dan menegakkan keadilan ekonomi untuk semua, selain menjamin kesinambungan hak milik untuk kepentingan generasi akan datang. Hari ini sistem ekonomi kapitalis di seluruh dunia semakin merosakkan setelah penswastaan, liberalisasi dan kerakusan menyebabkan konsentrasi himpunan harta kekayaan di kalangan golongan masyarakat kaya mengakibatkan pengabaian golongan yang lemah ekonomi. Sistem ini juga zalim kerana ia menggalakkan sikap tidak ambil peduli tentang nasib serta masa depan warga bukan bisnes dan golongan miskin dalam masyarakat. Tidak hairan jika sistem kapitalis di Barat dilihat semakin rapuh dan tergugat serta berkemungkinan tidak berupaya dilestarikan kerana ia kini tidak disenangi oleh rakyat Barat sendiri.

Justeru, tiba masanya Malaysia serta negara Islam lain menyusun strategi baharu dan membina semula institusi, termasuk institusi wakaf, yang berupaya mengelakkan negara daripada terjerumus ke dalam permasalahan yang sama. Saya penuh yakin Waqaf Korporat adalah satu pembaharuan institusi yang berupaya mencorakkan dan menyusun semula sistem ekonomi supaya lebih adil dan saksama atas dasar meningkatkan keupayaan bersaing di pasaran.

Tiba masanya wakaf dan institusi Islam lain dihidupkan dan disemarakkan semula untuk mengelakkan umat Islam daripada terus lesu dan layu, langsung patah semangat juang dan mati semangat jihad.

Tan Sri Muhammad Ali Hashim,
Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.