Print

Siaran Akhbar

Written by Super User on .

Tajuk: ALUMNI UNISZA GESA TRANSFORMASI WAKAF SEGERA DILAKSANAKAN

PUTRAJAYA, 27 Julai 2013 – Alumni UniSZA hari ini menggesa agar institusi wakaf segera ditransformasikan. Sudah sampai masanya Majlis Agama Islam Negeri-negeri yang selama ini bertindak sebagai pemegang amanah tunggal, membuka ruang kepada institusi masyarakat dan sektor korporat untuk bersama-sama membangunkan institusi wakaf sebagai platform kepada penggerak ekonomi negara.

Telah terbukti, wakaf merupakan institusi Islam yang telah berjaya memartabatkan tamadun Islam pada zaman kegemilangan Zaman Khalifah Uthmaniyah. Pada era tersebut, institusi wakaf amat subur dibangunkan. Merujuk kepada kejayaan itu, pembangunan wakaf masih relevan di zaman moden ini. Sebagai contoh di Turki, badan-badan wakaf yang dibangunkan oleh institusi masyarakat dan badan perniagaan negara tersebut telah berjaya membangunkan pelbagai institusi perniagaan termasuklah lebih 50 universiti. Di samping itu, banyak juga institusi korporat yang digerakkan berlandaskan wakaf.

Waqaf Korporat adalah institusi ekonomi penjana harta kekayaan, bukan untuk tujuan kebajikan semata-mata. Tidak namanya korporat jika institusi ini tidak berpanjangan menjana peluang ekonomi serta peluang kerja baru, dan tidak dapat menyumbang kepada pertambahan pendapatan dan kualiti hidup. Ini kerana wakaf dalam Islam adalah untuk bersifat lestari warisan hari ini untuk kegunaan generasi masa depan.

Waqaf korporat bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan. Contohnya Waqaf An Nur Corporation Bhd (WANCorp) yang jelas membuktikan keupayaan wakaf dalam membela kepentingan masa depan ekonomi bangsa Melayu dan umat Islam. WANCorp telah menunjukkan prestasi cemerlang apabila nilai aset wakafnya meningkat kepada RM538.5 juta pada akhir 2011, berbanding dengan RM250 juta sewaktu diwakafkan, bermula pada Ogos, 2006.

Alumni UniSZA setakat ini telah mengeluarkan lebih 10 ribu graduan semenjak tahun 1985 melalui kolej asalnya KUSZA mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam pelbagai bidang. Alumni UniSZA juga bersedia untuk bergandingan dengan Majlis Agama Islam Negeri-negeri di seluruh Malaysia membantu bersama-sama membangunkan institusi wakaf sebagai institusi korporat yang berdaya maju.

Alumni juga bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana Majlis Agama Islam Negeri untuk menubuhkan syarikat wakaf korporat sebagai jentera penggerak yang menjana ekonomi dan kekayaan umat Islam melalui wakaf.

Hasrat Alumni ini telah mendapat sokongan daripada Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) yang juga pengasas Wakaf AnNur Corporation Berhad, Tan Sri Muhammad Ali Hashim, yang merupakan penasihat kepada agenda Alumni ini. Alumni turut mendapat sokongan dari pihak UniSZA sendiri untuk bersama-sama melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam menggerakkan agenda wakaf korporat ini termasuklah mengadakan Kursus Profesional Pengurusan Wakaf di kampus UniSZA. Ini bertujuan untuk melahirkan pengurus-pengurus wakaf yang profesional dan terlatih untuk Majlis Agama Islam Negeri-negeri membangunkan wakaf secara efektif.

Latarbelakang Siri Wacana Alumni UniSZA

Bertempat di Kelab Tasik Putrajaya, penganjuran Siri Wacana Alumni UniSZA baru-baru ini merupakan salah satu usaha Alumni untuk menggalakkan transformasi wakaf dapat dilakukan dalam masa terdekat di negara ini. Presiden DPIM, Tan Sri Muhammad Ali Hashim telah dijemput untuk menyampaikan wacana bertajuk “Transformasi Waqaf Membela Generasi Masa Depan”. Manakala majlis telah dirasmikan oleh Naib Canselor UniSZA, Prof Yahaya Ibrahim. Program ini turut disokong oleh DPIM dan Bank Muamalat Malaysia Berhad.

Antara objektif wacana ini adalah untuk memberi kefahaman kepada para ahli alumni UniSZa khususnya dan masyarakat amnya akan kekuatan waqaf sebagai sebuah institusi Islam yang boleh membina ketamadunan yang unggul.

Selain itu wacana ini juga mahu memperkenalkan kaedah waqaf korporat sebagai institusi ijtimai’ yang bergerak mengutamakan kepentingan jemaah mengatasi kepentingan individu.

Seterusnya, melalui wacana ini, Alumni UniSZA bakal merealisasikan kaedah waqaf korporat dalam agenda ekonomi Alumni UniSZA yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan pendidikan UniSZA.

Mengenai Alumni UniSZA
Persatuan Alumni UniSZA telah ditubuhkan secara rasminya melalui Mesyuarat Penubuhan yang telah diadakan pada 21 Jun 2013 di Kelab Tasik Putrajaya. Usaha penubuhan alumni ini bermula sejak tahun 2011 melalui sekumpulan Alumni UniSZA yang kebanyakannya terdiri daripada ‘batch’ di antara tahun 1984 hingga 1991.

Penubuhan alumni ini mengambil masa yang agak panjang kerana perubahan besar berlaku ke atas perubahan nama dan status UniSZA yang mana sebelum ini ditubuhkan atas nama Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) dan Universiti Darul Iman (UDM). Alhamdulillah, berkat komitmen Naib Canselor UniSZA, YBhg Prof Dr. Yahaya Ibrahim serta pengurusan tertinggi UniSZA yang telah mengiktiraf graduan KUSZA dan UDM sebagai Alumni UniSZA, maka usaha penubuhan Persatuan Alumni UniSZA telah dapat disegerakan.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai Alumni UniSZA, sila layari laman sesawang rasmi di www.alumni.unisza.edu.my atau hubungi kami di talian 013-618 6474 (Zaid) atau emel ke This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it..">This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it..

Mohammad Sahar Mat Din
Presiden Alumni UniSZA